6c) Makanan tradisional di Kelantan - Google Blog Search |
Uniknya Negeri <b>Kelantan</b> dengan '4 Days Trip' - CutiKelantan.com Posted: 27 May 2014 12:00 AM PDT Salam sejahtera buat pembaca blog CutiKelantan. Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai program 'Kelantan Unique FAM Trip 2014′. Program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam (16 Mei hingga 19 Mei) ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia Kelantan dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Firefly. Apa yang dimaksudkan dengan FAM trip? 'FAM Trip' adalah singkatan bagi 'Familiarisation Trip', iaitu satu trip bertujuan mengenali negeri Kelantan Darul Naim menerusi keunikan produk pelancongan yang merangkumi elemen kebudayaan, warisan, sejarah, permainan tradisional, kraftangan, makanan tradisional, aktiviti masyarkat desa dan juga membeli belah. Kiranya semua keunikan negeri Kelantan dimasukkan dalam trip 4 hari 3 malam ini. Walaupun jadual trip 4 hari 3 malam agak padat, tetapi ia sangat menyeronokkan. Selain wakil CutiKelantan, turut serta dalam program ini adalah terdiri dari wakil dan pengamal media, agensi pelancongan serta wakil Tourism seluruh Malaysia, wartawan majalah pelancongan dan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan. Walaupun saya warga Kelantan, namun hati tetap teruja untuk menyertainya disebabkan pelbagai aktiviti serta pengisian dan juga tempat-tempat menarik yang masih belum dilawati. Jadi, buat anda yang akan berkunjung ke Kelantan, itinerary 4 hari 3 malam ini boleh memberi anda idea untuk dimasukkan dalam jadual percutian and ke Kelantan. Jom ikuti travelog kami sepanjang program. Day 1 Hari pertama, kami berlepas dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Firefly di Lapangan Terbang Subang dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sejam kemudian. Sampai di lapangan terbang, kami disambut oleh En Rosdi yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang program berlangsung. Hari pertama trip ini, kami menginap di Holiday Villa Hotel yang terletak berhadapan Pasar Wakaf Che Yeh. Pada sebelah petang pula, kami ke Pantai Sri Tujuh menaiki kenderaan klasik Volkswagen Combi untuk menikmati rojak atau dalam dialek kelantan dipanggil 'colek' dan juga pelbagai lagi makanan goreng-goreng celup tepung. Lebih kurang 4 tahun saya tidak ke Pantai Sri Tujuh. Kunjungan kali ini semestinya saya berpeluang melihat persekitaran yang sudah berubah dengan banyak restoran dibuka disamping suasana lebih meriah dengan kedatangan warga tempatan yang ingin menikmati angin pantai yang mendamaikan. Jika anda tidak ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), bolehlah ke Pantai Sri Tujuh untuk bersiar-siar pada sebelah petang sambil menikmati ICT (Ikan Celup Tepung). Memang terbaik. Usai makan ICT di Pantai Sri Tujuh, kami pulang ke hotel penginapan dan berehat. Pada sebelah malam pula, kami ke Taman Kelip-Kelip atau dinamakan Min House Camp. Min House Camp adalah sebuah kawasan perkampungan melayu Kelantan yang terletak di Kubang Kerian. Tarikan utama di sini adalah anda akan disajikan pemandangan dan suasana perkampungan melayu yang menarik terutamanya untuk melihat kelip-kelip bercahaya pada sebelah malam. Pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Lubuk Durian untuk melihat kelip-kelip bercahaya di sebalik deretan pokok bakau memang unik. Bagaimanapun, kami kurang bernasib baik kerana sedikit sahaja kelip-kelip muncul disebabkan hujan sebelum kami ke sana. Di sini juga terdapatnya perusahaan madu kelulut atau dipanggil madu Trigona. Min House Camp ini sangatlah sesuai dijadikan kawasan rekreasi untuk hari keluarga ataupun pelbagai kursus 'outdoor' secara berkumpulan. Selesai di Taman Kelip-Kelip, kami terus ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh untuk bersiar-siar menikmati persekitaran pasar malam yang paling tersohor di Kelantan. Juga dipanggil 'uptown Kota Bharu'. Ramai juga sahabat-sahabat mengambil kesempatan untuk membeli pakaian di pasar Wakaf Che Yeh. Malam sudah lewat, kami terus ke hotel penginapan dengan hanya berjalan kaki sahaja. Day 2 Di hari kedua, kami checkout dari Hotel Holiday Villa dan terus menuju ke beberapa destinasi produk pelancongan tempatan seperti Nordin Batik, Goldsmith Maker, Kelantan Art Gallery, Baulu & Akok Cottage Industry dan A. Rahman Kayu Kraf. Tiba waktu tengah hari, semua sudah tidak sabar untuk menjamu selera nasi kerabu ayam percik. Kami singgah 'lunch' di Warung Yati Ayam Percik yang agak terkenal di Kelantan. Selepas selesai bersiar di sekitar Kota Bharu, rombongan kami terus menuju ke Tok Bali, Kelantan untuk menginap di resort Tok Aman Bali. Perjalanan memakan masa 45 minit dari Kota Bharu. Sebelum sampai di resort Tok Aman, kami singgah terlebih dahulu di Sudara Resort untuk jamuan 'Hi-Tea' dan beberapa aktiviti menarik di sana. Day 3 Selepas bersarapan pagi dan checkout di Tok Aman Bali, kami terus ke Kota Bharu untuk aktiviti 'fun ride' dengan mengayuh basikal sejauh 8 KM melawat beberapa kawasan pelancongan di sekitar Kota Bharu seperti Zon Pelancongan Kota Bharu, Kelantan Match Factory, Malay Village, Batik Industry, Cik Minah Songket dan Wau Maker. Lebih kurang jam 2 petang, peserta sudah keletihan dan kami terus check in di Hotel Perdana. Pada petang tersebut, kami di bawa ke PCB resort untuk jamuan Hi-Tea di samping menyaksikan acara tradisional masyarakat Kelantan iaitu Gasing Terbang dan Sepak Raga. Pada sebelah malamnya pula, kami berpeluang merasai salah satu menu unik di Kelantan iaitu meggi ketam. Sebelum ini, saya sudah mencubanya di Tok Bali, kali ini kami ke Indra Tom Yam di Pasir Pekan. Selesai mengisi perut, rombongan melawat Galeri Wayang Kulit Pak Daim. Peserta berpeluang menyaksikan plot drama wayang kulit yang dimainkan di sini. Usai aktiviti wayang kulit, semua sudah kepenatan dan terus balik ke Hotel Perdana untuk tidur. Day 4 Pada hari keempat iaitu hari terakhir trip ini, kami bersarapan di Hotel Perdana terlebih dahulu sebelum aktiviti terakhir iaitu melawat Pasar Siti Khadijah. Sebelum pulang, rombongan terus ke Pasar Siti Khadijah untuk aktiviti membeli-belah. Lawatan ke Pasar Siti Khadijah pada hari terakhir memang sesuai memandangkan banyak juga barangan yang boleh dibeli untuk dibawa pulang sebagai kenangan seperti pakaian, kain batik, kain sarung, keropok, dodol dan pelbagai lagi makanan kering. Cubalah juga menikmati pelbagai juadah kuih muih tradisional di tingkat 1 Pasar Siti Khadijah ataupun mencuba pelbagai jenis menu di medan selera tingkat 2. Antara menu kegemaran saya apabila berkunjung ke medan selera Pasar Siti Khadijah ialah mee celup, mee sup ataupun sup perut. Memang terbaik. Selepas aktiviti membeli-belah di Pasar Siti Khadijah, kami terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra untuk menaiki pesawat dan pulang ke destinasi masing-masing. Trip selama 4 hari 3 malam kali ini sememangnya memberi kepuasan kepada semua peserta. Rata-rata rakan yang saya temui mengakui bahawa Kelantan memang kaya dengan keunikannya yang tersendiri, yang tidak terdapat di negeri lain. Yang paling digemari, sudah tentulah aktiviti makan-makan dan membeli-belah. Penulis ingin merakamakan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya Tourism Malaysia Kelantan serta syarikat penerbangan Firefly. Tak lupa En Rosdi sebagai Tourist Guide yang sentiasa melayan pelbagai karenah kami dan terima kasih juga kepada pihak Hotel Holiday Villa, Sudara Resort, Tok Aman Bali Resort, PCB Resort serta Hotel Perdana dengan servis hospitaliti yang sememangnya terbaik. |
You are subscribed to email updates from Makanan tradisional di Kelantan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 Comment for "6c) Makanan tradisional di Kelantan - Google Blog Search"